Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Mac. - Trend menempah perkhidmatan 'live cook' bagi acara rumah terbuka semasa Hari Raya Aidilfitri semakin mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha makanan tempatan untuk menjana pendapatan.
Permintaan terhadap perkhidmatan ini meningkat khususnya ketika musim perayaan, apabila tuan rumah memilih konsep hidangan panas yang dimasak secara langsung di lokasi bagi memberikan pengalaman lebih segar dan menarik kepada tetamu. Antara menu yang sering ditawarkan termasuk mee goreng, kuey teow goreng, nasi goreng dan satay.
Selain memberikan kemudahan kepada tuan rumah, perkhidmatan 'live cook' juga membantu mengurangkan beban persiapan makanan dalam kuantiti besar, di samping memastikan hidangan sentiasa panas dan berkualiti sepanjang majlis berlangsung.
Dalam satu temu bual bersama seorang pengusaha 'live cook', Awang Muhammad Asri bin Haji Jaidi, yang terkenal dengan hidangan mee goreng dan kuey teow goreng, berkata permintaan terhadap perkhidmatannya meningkat ketara menjelang musim perayaan.
“Alhamdulillah, setiap kali Hari Raya, tempahan memang penuh. Ada pelanggan yang membuat tempahan seawal satu hingga dua bulan lebih awal bagi memastikan slot tersedia," jelasnya.
Beliau menambah, konsep memasak secara langsung bukan sahaja memberikan kepuasan kepada tetamu, malah membolehkan pelanggan menyesuaikan tahap rasa mengikut selera masing-masing.
“Ada yang suka lebih pedas, ada yang kurang minyak atau mahu tambahan lauk seperti udang dan ayam. Semua itu boleh kami sediakan secara terus di lokasi," tambahnya lagi.
Menurutnya, antara cabaran utama adalah memastikan kelancaran operasi di lokasi, termasuk penyediaan peralatan dan pengurusan masa agar hidangan dapat disajikan tanpa menunggu lama.
Dalam masa yang sama, inisiatif ini dilihat sebagai satu bentuk sokongan langsung kepada pengusaha tempatan, termasuk Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam industri makanan dan katering.
Sehubungan itu, orang ramai adalah digalakkan untuk terus menyokong perkhidmatan tempatan seperti 'live cook catering' ini sebagai usaha memperkukuhkan ekonomi komuniti, di samping memeriahkan lagi sambutan Hari Raya dengan suasana yang lebih interaktif dan unik.